Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk
mengalami tekanan mental.
PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara
berkala.
BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain
mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari
semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan
mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta
mengendalikan persiapan hari sukan.
Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi
untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang
serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.
Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan
bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah
pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.
Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan
dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah
tempatnya bertugas.
Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri,
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia
sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.
"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan.
Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat
daripada doktor disertakan.
"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan
tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing,"
katanya.
Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik
untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.
"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila
murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan
sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi
tekanan.
"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai
yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk
pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan
perasaan," jelasnya.
Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak
sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya
ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.
Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang
dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.
"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman
saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk
hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.
Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba
untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin
dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.
"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat,
tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau.
Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.
Kerja tujuh hari seminggu
Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai
guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk
menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah
berbanding bersama keluarga.
"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan
bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan
direhatkan."Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja
memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran
kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.
Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah
berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami
tanggungjawab guru JQAF namun ada
juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.
"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja
tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk
suami dan anak-anak.
"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa.
Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran
JQAF.
"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana
semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan
terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.
Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh
pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF."Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental
block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa
bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.
"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu
dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.
Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti
panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk
lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa
dengannya.
"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak
kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya
bertambah teruk waktu itu."Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat
dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani
terapi dan rawatan di hospital.
"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain.
Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh
mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada
saya," katanya.Berisiko mendapat penyakit kritikal
NUR ZURAIDA
MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan
22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital
berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.
“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru
sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.
“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab,
rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan
dengan tekanan lain.“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan
kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk
melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar,
masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik
anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.Apabila
ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru
sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di
sekolah.
Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh
pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka
menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan
dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan
kemurungan.
“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat
seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif
dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.
“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang
mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.
Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan,
faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga,
rakan-rakan dan masyarakat.Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah
jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.Malah, jelas Nor
Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk
mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis
dan buah pinggang.
“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan.
Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan
mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.
“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak
pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan
mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani
terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.
SUMBER HARIAN METRO
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my